Tuesday, March 13, 2012

.::Semoga pahala Al-Fatihah kalian sampai ke mangsa kemalangan di Kota Tinggi-5/3/2012::.










"petikan dari surat kahabar utusan"

KOTA TINGGI 6 Mac - Hasrat seorang gadis mengikat tali pertunangannya pada 17 Mac ini tidak kesampaian apabila bakal tunangnya maut dalam kemalangan di Kampung Sri Jaya di Kilometer 28.5 Jalan Kulaijaya-Kota Tinggi di sini semalam.

Lebih menyayat hati, tragedi pukul 2.40 petang itu turut meragut nyawa ibu dan kakak gadis tersebut.
Mangsa yang terbunuh ialah bakal tunang Fazlina Othman, 25, iaitu Muhammad Hazwan Ahmad, 25, serta ibu dan kakak Fazlina, Saemah Mantu, 65, dan Fatimah, 35.

Ketiga-tiga mangsa termasuk Fazlina dan seorang anak saudaranya, Ahmad Razim Faizal, 3, dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Felda Air Tawar 1, sebelum kereta dipandu Muhammad Hazwan bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan ikan.

Dalam kejadian itu, Fazlina cedera di tangan kiri, manakala Ahmad Razim yang cedera di kepala kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).Pemandu lori berusia 33 tahun itu bagaimanapun hanya cedera ringan.

Jenazah Muhammad Hazwan yang berasal dari Kampung Pasir Kuala Dipang, Perak dikebumikan di kampungnya, manakala Saemah dan Fatimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 1 , semalam.

Menceritakan kejadian itu, Fazlina yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung setelah selesai urusan membeli barang keperluan persiapan pertunangan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang duduk di bahagian penumpang depan tidur dan hanya tersedar selepas kereta Proton Saga BLM yang dipandu bakal tunangnya tiba-tiba bertembung dengan lori berkenaan.

"Saya terkejut dengan apa yang berlaku, namun reda dengan ketentuan ini.
"Apa yang lebih menyedihkan adalah hajat ibu untuk melihat majlis kami berlangsung tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini.

Fazlina memberitahu, kepulangan mereka memang dinanti-nantikan ahli keluarga yang lain kerana mahu membincangkan persiapan majlis pertunangannya yang akan diadakan serentak sempena pernikahan abangnya pada 17 Mac ini.

Katanya, mereka bertolak ke Kuala Lumpur beberapa hari sebelum kejadian dengan menaiki bas dan pulang menaiki kereta yang dipandu bakal tunangnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kulaijaya ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.


Sumber: Utusan Malaysia

P/s: berita nie copy paste dari utusan online...tapi kak fazlina ada col mak dia cakap tak bagutau apa-apa pun pada wartawan..biarlah benda dah jadik..

" Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk menerima segala ketentuanMu dan kami mohon agar Engkau tempattkan arwah bersama dengan orang-orang yang beriman dan ampunilah segala dosa-dosanya samaada yang nyata mahupun yang tersembunyi, hanya Engkau Yang Maha Mengetahuinya." amin.

No comments:

Post a Comment