Wednesday, July 27, 2011

~ Panduan Pra-Ramadan~

1.  Persediaan diri secara mental dan rohani lebih penting dalam menyambut Ramadan.  Bisikan pada diri sendiri, Ramadan sudah di ambang pintu dan kita akan menerima kedatangannya.

2.  Latih diri secara fizikal dengan membanyakkan puasa sunat.

3.  Jangan lupa menggantikan puasa Ramadan lalu.  Jangan abaikan kewajipan yang satu ini.  Wanita memang banyak istimewanya kerana ada "cuti solat" dan "cuti puasa".  Walaupun cuti solat tidak perlu diganti tetapi cuti puasa Ramadhan yang lalu wajib diganti.  Masa masih ada, jadi jangan tunggu lagi.

4.  Mulakan tadarus mulai sekarang.  Bertadarus ertinya membaca Al-Quran beramai-ramai hingga tamat terutamanya dalam bulan Ramadan.  Tidak kurang juga yang berazam secara individu untuk menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk dalam bulan Ramadan.  Namun sebagai wanita, sekali lagi kita dibatasi kekangan tertentu.  Dalam 30 hari berpuasa mungkin seminggu kita harus bercuti.  Bagaimana pun supaya kita dapat habiskan juga bacaan al-Quran 30 juzuk dalam Ramadan ini, lebih baiklah kita mulakan lebih awal.  Syaaban sudah datang, apa kata kita mulakan sekarang, supaya menjelang syawal nanti, kita lega kerana selesai menghabiskan bacaan kitab suci itu.

5.  Biasakan diri dengan amalan sunat seperti bersedekah.  Amalan bersedekah antara yang sinonim pada Ramadan yang berkat.  Jadi, tidak salahlah 'belajar-belajar' untuk menghulur pada mereka yang kurang berkemampuan mulai sekarang.

6.  Bermuhasabah diri dan merenung kembali persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

7.   Digalakkan juga mengulang kaji segala persoalan berkaitan masalah ibadat puasa, sama ada mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab-adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung dalam bulan mulia ini.

8.  Jangan terlalu gelojoh membuat membuat persiapan raya dan rancang itu ini untuk menyambut syawal.

9.  Berazam bahawa kedatangan Ramadan sama sekali tidak menjejaskan kualiti kerja di pejabat, sebaliknya kita akan terus cekap dan aktif sepanjang masa.

10.  Berdoalah mudah-mudahan kita sempat bersua Ramadan yang bakal tiba dan menanam azam bahawa Ramadan ini akan jadi yang terbaik dalam hidup.

No comments:

Post a Comment