Showing posts with label ...Ceritera Ramadhan.... Show all posts
Showing posts with label ...Ceritera Ramadhan.... Show all posts

Monday, August 22, 2011

Tanda -Tanda Malam al-Qadar


Kata orang lihat pada sebelah paginya : tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana"terlepas" malam al-Qadar.
Satu SMS menyatakan," Ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) Lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa.
Rasa rugi kalau terlepas!" Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan al-Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, " Jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi "hamba" malam al-Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja."


Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat al-Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat al-Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam al-Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya "diangkat" oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat al-Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas "malam tadi"(malam yang dirasakan malam al-Qadar) apakah sudah berubah, terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya, kita telah mendapat malam al-Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya, malam al-Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam al-Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah "bertamu dalam hati" orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari Syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara Malaikat dan Syaitan.Antara ilham dan was was. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya".
Orang yang mendapat malam al-Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam al-Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam al-Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada al-Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam al-Qadar. Al-Qadar boleh datang, boleh pergi, tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam al-Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam al-Qadar nanti.
Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk "menemuinya". Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku. Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.

Sumber: klik sini

Monday, August 1, 2011

.::Istimewanya Ramadhan::.

Di antara amalan-amalan yang istimewa dibulan Ramadhan ialah:

Solat Terawih


Dari Abdurrahman Ibnu 'Auf r.a, Nabi s.a.w bersabda: " Bhawasanya Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan, dan saya telah mensunnahkan berdiri pada malamnya (bersolat terawih), kerana mengharapkan Allah oleh seseorang iaitu dengan berpuasa pada siang hari dan sembahyang solat terawih pada malamnya, nescaya keluarlah (selamatlah) dia dari dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya."


Bertadarus
Menanti Lailatul qadar

Iktikaf di masjid
Ibnu Rejab berkata: "Iktikaf adalah memutuskan hubungan dengan makhluk, untuk menghubungkan diri dengan Khalik(ALLAH) dengan jalan perkhidmatan atau pengabdian."

Bersedekah
Berzikir dan beristighfar


Sumber: Amalan istimewa bulan ramadan (HoMe CoLLectiOn)

Sunday, July 31, 2011

.::Ramadhan datang lagi::.

 




Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak,
semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang sebelum ini,
semoga dapat kita lenturkan nafsu yang selalu membelenggu diri yang selama ini tidak henti-henti,
semoga Ramadhan kali ini tidak sia-sia kerana belum tentu kita akan bertemu pada Ramadhan yang akan datang,
semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengharungi segala-galanya dengan sabar,
ALLAH memilih Ramadhan untuk melimpahkan nikmat besar-Nya kepada para hamba-Nya dengan menurunkan A-Quran.  Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

       "Bulan Ramadhan adalah bulan yang didalamnya diturunkan Al-Quran, untuk menjadi petunjuk bagi manusia dan bermacam-macam keterangan yang merupakan petunjuk antara yang benar dan yang batil."
                                                                                                               (Surah Al-Baqarah:185)

Wednesday, July 27, 2011

~ Panduan Pra-Ramadan~

1.  Persediaan diri secara mental dan rohani lebih penting dalam menyambut Ramadan.  Bisikan pada diri sendiri, Ramadan sudah di ambang pintu dan kita akan menerima kedatangannya.

2.  Latih diri secara fizikal dengan membanyakkan puasa sunat.

3.  Jangan lupa menggantikan puasa Ramadan lalu.  Jangan abaikan kewajipan yang satu ini.  Wanita memang banyak istimewanya kerana ada "cuti solat" dan "cuti puasa".  Walaupun cuti solat tidak perlu diganti tetapi cuti puasa Ramadhan yang lalu wajib diganti.  Masa masih ada, jadi jangan tunggu lagi.

4.  Mulakan tadarus mulai sekarang.  Bertadarus ertinya membaca Al-Quran beramai-ramai hingga tamat terutamanya dalam bulan Ramadan.  Tidak kurang juga yang berazam secara individu untuk menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk dalam bulan Ramadan.  Namun sebagai wanita, sekali lagi kita dibatasi kekangan tertentu.  Dalam 30 hari berpuasa mungkin seminggu kita harus bercuti.  Bagaimana pun supaya kita dapat habiskan juga bacaan al-Quran 30 juzuk dalam Ramadan ini, lebih baiklah kita mulakan lebih awal.  Syaaban sudah datang, apa kata kita mulakan sekarang, supaya menjelang syawal nanti, kita lega kerana selesai menghabiskan bacaan kitab suci itu.

5.  Biasakan diri dengan amalan sunat seperti bersedekah.  Amalan bersedekah antara yang sinonim pada Ramadan yang berkat.  Jadi, tidak salahlah 'belajar-belajar' untuk menghulur pada mereka yang kurang berkemampuan mulai sekarang.

6.  Bermuhasabah diri dan merenung kembali persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

7.   Digalakkan juga mengulang kaji segala persoalan berkaitan masalah ibadat puasa, sama ada mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab-adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung dalam bulan mulia ini.

8.  Jangan terlalu gelojoh membuat membuat persiapan raya dan rancang itu ini untuk menyambut syawal.

9.  Berazam bahawa kedatangan Ramadan sama sekali tidak menjejaskan kualiti kerja di pejabat, sebaliknya kita akan terus cekap dan aktif sepanjang masa.

10.  Berdoalah mudah-mudahan kita sempat bersua Ramadan yang bakal tiba dan menanam azam bahawa Ramadan ini akan jadi yang terbaik dalam hidup.